Tuesday, November 3, 2009

Muqadimah: Menceburi Kursus Akrine

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang

Maka dengan keizinan, ketentuan qada dan takdir Allah s.w.t, telah dipandukan dilorongkan buat pertama kali dalam sejarah hidup ana diberi peluang untuk menceburi, mendalami, mengenali ilmu-ilmu dalam perubatan rawatan Islam. Kesempatan yang diberikan oleh Allah ini ana ambil dengan mengikuti kursus rawatan intensif yang dikendalikan oleh Ustaz Abdul Majid Bin Hassan. Tiadalah ana ingin membuat coretan karangan ibarat menulis karangan bagi subjek BM dalam peperiksaan SPM. Tapi atas dasar keistimewaan pengalaman pertama kali menceburkan diri sebagai seorang mu'allij. Justeru catitan ini adalah agak simbolik.

Alhamdulillah sepanjang tempoh perjalanan pergi dipermudahkan oleh Allah s.w.t. Dua perasaan terus terputik di hati ana setibanya di sini. Pertama terkejut dan kedua bersyukur. Terkejut kerana kehadiran peserta menjangkau dan melebihi apa yang ana sangkakan, yakni lebih kurang 100 orang peserta. Bersyukur itu kerana seharian jika dibaca dalam akhbar semasa rata-rata boleh dikatakan setiap hari banyak berita-berita yang berkaitan dengan sihir dan seumpama dengannya. Maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah s.w.t itu maha adil & maha bijaksana. 100 orang perserta ini telah mengambil ruang, peluang dan hidayah daripada Allah s.w.t. untuk memenuhi tuntutan fardhu kifayah sebagai seorang mu'allij. Tingkatnya kejahatan itu maka tingkat dan tinggilah juga yang haq itu. Alhamdulillah dan insya-Allah kemenangan itu sentiasa di pihak yang haq.

Secara ringkas pada waktu siang hari pertama, masa telah diisi dengan sesi-sesi kuliyah tentang segala perkara merangkumi rawatan islam sebagai seorang mu'allij yang disampaikan oleh tuan guru. Alhamdulillah pelbagai ilmu-ilmu yang disampaikan dicerap sedikit demi sedikit dalam minda kepada ana. Apa yang ana ingin kongsikan di perenggan ini ialah gangguan jin terhadap 4 peserta secara berangkaian. Yang dimaksudkan ana berangkaian atau serangkaian ini ialah kerana salah seorang peserta telah penyembur spray aromateraphy akrine (mungkin untuk rawatan), secara tak langsung bau merbak spray itu terus menyelusup dalam dewan tersebut lantas dengan izin Allah memberi kesan yang segera kepada baki tiga peserta lain yang jelas menunjukkan keadaan mereka yang mempunyai sejarah gangguan jin. Secara ringkas terdapat gangguan jin asyik, jin sihir dan jin saka terhadap mereka. Alhamdulillah suasana dalam keadaan terkawal dengan bantuan oleh Ustaz Marzuki, abang Hisham (yang telah 6 kali mengikuti kursus rawatan Akrine), saudara Fazirul dari sebuah pusat pengajian tinggi yang juga pernah mengikuti kursus rawatan Akrine serta beberapa saudara yang ana kurang ingat nama mereka. Segala pujian bagi Allah, rawatan terhadap mereka berjaya dikembalikan dalam keadaan normal dengan izin Allah.

Lebih kurang 30 orang peserta bermalam di dewan tersebut termasuklah juga ana. Malamnya berlalu sekadar biasa. Cuma bukan kebiasaan bagi ana untuk tidak dapat tidur pada waktu malam. Malang bagi ana dan juga Najib (dari skudai johor) yang tidur disebelah kanan ana, tidak lupa juga Fazirul yang tidur disebelah kiri ana. Pada mulanya masing-masing dapat tidur sekitar jam 11 hingga 1. Hakikatnya kemudian kami bertiga bersengkang mata dari jam 1 pagi hinggalah hampir 4 pagi barulah masing-masing dapat melelapkan mata. Tela'ah kami mengatakan (sebagaimana ustaz Abdul Majid beritahu) dewan tersebut teramat jarang-jarang digunakan dan katanya lagi tiada perlu dihairankan memandangkan setiap kali kursus rawatan diadakan pasti malamnya "ada sesuatu".

Tiadalah ana berhajat untuk menulis karangan yang panjang dan jumlah ayatnya melebihi 350 patah perkataan. Cukuplah sekadar merenjiskan beberapa perkongsian pengalaman sekadar ingatan untuk hari-hari mendatang. Secara ringkas keseluruhan hari kedua diisi dengan melakukan pelbagai kaedah rawatan secara praktikal. Kursus diakhiri dengan upacara pengijazahan kepada bakal-bakal mu'allij oleh tuan guru ustaz Abdul Majid serta sesi berfoto gambar.

Maka al kisah tamatlah sudah penceritaan, perkongsian pengalaman dan bermulalah juga episod baru dalam hidup ana merangkak, bertatih melangkah kaki kanan sebagai seorang mu'allij muda. Kepada sahabat-sahabat perjuangan sekalian (abg Hashim, abg Sha'ari, sheikh Hafiz, saudara Najib, Hanafiah, Azlan, Amir, Cikgu, juga para pelajar dari pengajian tinggi Faizul, Dee, Rahim, Zul, Ramdan serta semua peserta-peserta kursus yang namanya tidak tercatit. ) (maaf ana tak mampu untuk ingat semua nama kalian pada ketika ini). Semoga tetap dan istiqomahlah kalian semua dalam menegak yang haq mengatasi segala yang batil.


Sebelum mengakhiri entry ini, sukalah ana menghulurkan jambangan terima kasih kepada mereka yang terlibat dalam menjayakan kursus rawatan intensif ini. Akhir kata, ana doakan mudah-mudahan Allah s.w.t sentiasa menganugerahkan rasa keikhlasan terhadap segala ucapan, perbuatan, gerak-kerja mahupun istirehat kita. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon perlindunganMu agar kami tidak terjerumus ke kancah mensyirikkan Engkau dengan segala sesuatu yang sememangnya kami maklumi, dan kami memohon segala keampunanMu terhadap segala dosa yang tidak kami ketahui. Amin.

No comments:

Post a Comment