Tuesday, November 24, 2009

Pulangkan Tangan Ita


Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang

Assalamualaikum teman-temanku sekalian,Kisah ini untuk dijadikan pedoman dan pengajaran……Sebagai seorang ibu, anda patut menghalang atau menegur perbuatan suami anda memukul terutama sekali terhadap anak2 yg masih kecil dan tak tau apa2. Kalaupun terpaksa, ikutilah seperti apa yang telah diajarkan oleh junjungan besar Rasulullah SAW.

Namun perlu diingat, dalam Islam memukul bukanlah cara terbaik didalam mendidik anak-anak!! Sepasang suami isteri - seperti pasangan lain di kota-kota besar, meninggalkan anak-anak diasuh pembantu rumah semasa keluar bekerja. Anak tunggal pasangan ini, perempuan berusia tiga setengah tahun. Bersendirian di rumah dia kerap dibiarkan pembantunya yang sibuk bekerja bermain diluar, tetapi pintu pagar tetap dikunci. Bermainlah dia sama ada berayun-ayun di atas buaian yang dibeli bapanya ataupun memetik bunga raya, bunga kertas dan lain-lain di halaman rumahnya.

Suatu hari dia melihat sebatang paku karat. Dia pun mencoret simen tempat letak kereta ayahnya oleh kerana lantainya diperbuat dari marmar, coretan tidak kelihatan. Dicubanya pada kereta baru ayahnya. Ya… kerana kereta itu bewarna gelap, coretannya tampak jelas. Apa lagi kanak-kanak ini pun membuat coretan sesuai dengan kreativinya. Hari itu ayah dan ibunya bermotosikal ke tempat kerja kerana kesesakan jalan raya, ada perayaan Thaipusam.

Setelah penuh coretan yg sebelah kanan dia beralih ke sebelah kiri kereta. Dibuatnya gambar ibu dan ayahnya, gambarnya sendiri, lukisan ayam, kucing dan lain mengikut imaginasinya. Kejadian itu berlangsung tanpa disedari si pembantu rumah.

Pulang petang itu, terkejut pasangan itu melihat kereta yang baru sebulan dibeli dengan bayaran ansuran. Si ayah yang belum lagi masuk ke rumah ini pun terus menjerit, "Kerja siapa ini?" Pembantu rumah yang tersentak dengan jeritan itu berlari keluar. Dia juga beristighfar. Mukanya merah padam ketakutan lebih2 melihat wajah bengis tuannya. Sekali lagi diajukan pertanyaan keras kepadanya, dia terus mengatakan “Tak tahu…!”, "kamu dirumah sepanjang hari, apa saja yg kau lakukan?"herdik si isteri lagi.

Si anak yang mendengar suara ayahnya, tiba-tiba berlari keluar dari biliknya. Dengan penuh manja dia berkata "Ita yg membuat itu abahhh.. cantikkan!" katanya sambil memeluk ayahnya ingin bermanja seperti biasa. Si ayah yang hilang kesabaran mengambil sebatang ranting kecil dari pohon bunga raya didepannya, terus dipukulkannya telapak tangan anaknya berkali-kali . Si anak yang tak mengerti apa-apa terlolong-lolong kesakitan sekaligus ketakutan.

Puas memukul telapak tangan, si ayah memukul pula belakang tangan anaknya. Si ibu cuma mendiamkan saja, seolah-olah merestui dan merasa puas dengan hukuman yang dikenakan.Pembantu rumah kebinggungan, tidak tahu apa yang harus dibuat. Si ayah cukup rakus memukul-mukul tangan kanan dan kemudian tangan kiri anaknya.

Setelah itu si ayah masuk ke rumah dituruti si ibu, pembantu rumah menggendong anak kecil itu, membawanya ke kamar. Dilihatnya telapak tangan dan belakang tangan si anak kecil luka2 dan berdarah. Pembantu rumah memandikan anak kecil itu. Sambil menyiram air sambil dia ikut menangis. Anak kecil itu juga terjerit-jerit menahan kepedihan saat luka2nya itu terkena air. Si pembantu rumah kemudian menidurkan anak kecil itu. Si ayah sengaja membiarkan anak itu tidur bersama pembantu rumah.

Keesokkan harinya, kedua-dua belah tangan si anak membengkak. Pembantu rumah mengadu. "Sapukan obat saja!" jawab tuannya, ayah si anak. Pulang dari kerja, dia tidak pun menjenguk anak kecil itu yang menghabiskan waktu di bilik pembantu. Si ayah kononnya mau mengajar anaknya.

Tiga hari berlalu, si ayah tidak pernah menjenguk anaknya sementara si ibu juga begitu tetapi setiap hari bertanya kepada pembantu rumah. “Ita demam… " jawap pembantunya ringkas. "Kasih minum panadol ," jawab si ibu. Sebelum si ibu masuk bilik tidurnya dia menjenguk kamar pembantunya. Saat dilihat anaknya Ita dalam pelukan pembantu rumah, dia menutup kembali pintu bilik pembantunya.

Masuk hari keempat, pembantu rumah memberitahukan tuannya bahwa suhu badan Ita terlalu panas. "Petang nanti kita bawa ke klinik. Pukul 5.00 siap" kata majikannya itu. Sampai saatnya si anak yang sudah lemah dibawa ke klinik, doktor mengarahkan ia dirujuk ke hospital kerana keadaannya yang serius.

Setelah seminggu dirawat doktor memanggil ayah dan ibu anak itu. "Tidak ada pilihan.." katanya yang menyarankan agar kedua tangan anak itu dipotong kerana jangkitan yang terjadi sudah terlalu parah.

"Ia sudah bernanah, demi menyelamatkan nyawanya kedua tangannya perlu dipotong dari siku ke bawah" kata doktor. Si ayah dan ibu bagaikan terkena halilintar mendengar kata-kata itu. Terasa dunia berhenti berputar, tapi apa yg dapat dikatakan. Si ibu meraung merangkul si anak. Dengan berat hati dan lelehan air mata isterinya, si ayah terketar-ketar menandatangani surat persetujuan pembedahan.

Keluar dari bilik pembedahan, selepas obat bius yang disuntikkan habis, si anak menangis kesakitan. Dia juga hairan melihat kedua tangannya berbalut kain putih. Ditatapnya muka ayah dan ibunya, kemudian ke wajah pembantu rumah. Dia mengerutkan dahi melihat mereka semua menangis.

Dalam kesakitan menahan sakit, si anak bersuara dalam linangan air mata, "Abah.. Mama… Ita tidak akan buat lagi. Ita tak mau abah pukul Ita lagi, Ita tak mau jahat. “Ita sayang abah.. sayang mama." katanya berulang kali membuatkan si ibu gagal menahan rasa sedihnya. "Ita juga sayang Kak Narti.." katanya memandang wajah pembantu rumah, sekaligus membuatkan gadis dari Surabaya itu meraung histeria.

"Abah.. kembalikan tangan Ita, jangan abah ambil tangan .. Ita janji tidak akan buat lagi!” Bagaimana Ita mau makan nanti? Bagaimana Ita mau bermain? Ita janji tidak akan mencoret2 kereta abah lagi," katanya berulang-ulang. Terasa tercabut jantung si ibu mendengar kata-kata anaknya. Meraung2 dia sekuat hati namun takdir yang sudah terjadi, tiada manusia dapat menahannya!

Pengajaran : Anak adalah amanah Allah, sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tiada gunanya.

Tuesday, November 3, 2009

Muqadimah: Menceburi Kursus Akrine

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang

Maka dengan keizinan, ketentuan qada dan takdir Allah s.w.t, telah dipandukan dilorongkan buat pertama kali dalam sejarah hidup ana diberi peluang untuk menceburi, mendalami, mengenali ilmu-ilmu dalam perubatan rawatan Islam. Kesempatan yang diberikan oleh Allah ini ana ambil dengan mengikuti kursus rawatan intensif yang dikendalikan oleh Ustaz Abdul Majid Bin Hassan. Tiadalah ana ingin membuat coretan karangan ibarat menulis karangan bagi subjek BM dalam peperiksaan SPM. Tapi atas dasar keistimewaan pengalaman pertama kali menceburkan diri sebagai seorang mu'allij. Justeru catitan ini adalah agak simbolik.

Alhamdulillah sepanjang tempoh perjalanan pergi dipermudahkan oleh Allah s.w.t. Dua perasaan terus terputik di hati ana setibanya di sini. Pertama terkejut dan kedua bersyukur. Terkejut kerana kehadiran peserta menjangkau dan melebihi apa yang ana sangkakan, yakni lebih kurang 100 orang peserta. Bersyukur itu kerana seharian jika dibaca dalam akhbar semasa rata-rata boleh dikatakan setiap hari banyak berita-berita yang berkaitan dengan sihir dan seumpama dengannya. Maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah s.w.t itu maha adil & maha bijaksana. 100 orang perserta ini telah mengambil ruang, peluang dan hidayah daripada Allah s.w.t. untuk memenuhi tuntutan fardhu kifayah sebagai seorang mu'allij. Tingkatnya kejahatan itu maka tingkat dan tinggilah juga yang haq itu. Alhamdulillah dan insya-Allah kemenangan itu sentiasa di pihak yang haq.

Secara ringkas pada waktu siang hari pertama, masa telah diisi dengan sesi-sesi kuliyah tentang segala perkara merangkumi rawatan islam sebagai seorang mu'allij yang disampaikan oleh tuan guru. Alhamdulillah pelbagai ilmu-ilmu yang disampaikan dicerap sedikit demi sedikit dalam minda kepada ana. Apa yang ana ingin kongsikan di perenggan ini ialah gangguan jin terhadap 4 peserta secara berangkaian. Yang dimaksudkan ana berangkaian atau serangkaian ini ialah kerana salah seorang peserta telah penyembur spray aromateraphy akrine (mungkin untuk rawatan), secara tak langsung bau merbak spray itu terus menyelusup dalam dewan tersebut lantas dengan izin Allah memberi kesan yang segera kepada baki tiga peserta lain yang jelas menunjukkan keadaan mereka yang mempunyai sejarah gangguan jin. Secara ringkas terdapat gangguan jin asyik, jin sihir dan jin saka terhadap mereka. Alhamdulillah suasana dalam keadaan terkawal dengan bantuan oleh Ustaz Marzuki, abang Hisham (yang telah 6 kali mengikuti kursus rawatan Akrine), saudara Fazirul dari sebuah pusat pengajian tinggi yang juga pernah mengikuti kursus rawatan Akrine serta beberapa saudara yang ana kurang ingat nama mereka. Segala pujian bagi Allah, rawatan terhadap mereka berjaya dikembalikan dalam keadaan normal dengan izin Allah.

Lebih kurang 30 orang peserta bermalam di dewan tersebut termasuklah juga ana. Malamnya berlalu sekadar biasa. Cuma bukan kebiasaan bagi ana untuk tidak dapat tidur pada waktu malam. Malang bagi ana dan juga Najib (dari skudai johor) yang tidur disebelah kanan ana, tidak lupa juga Fazirul yang tidur disebelah kiri ana. Pada mulanya masing-masing dapat tidur sekitar jam 11 hingga 1. Hakikatnya kemudian kami bertiga bersengkang mata dari jam 1 pagi hinggalah hampir 4 pagi barulah masing-masing dapat melelapkan mata. Tela'ah kami mengatakan (sebagaimana ustaz Abdul Majid beritahu) dewan tersebut teramat jarang-jarang digunakan dan katanya lagi tiada perlu dihairankan memandangkan setiap kali kursus rawatan diadakan pasti malamnya "ada sesuatu".

Tiadalah ana berhajat untuk menulis karangan yang panjang dan jumlah ayatnya melebihi 350 patah perkataan. Cukuplah sekadar merenjiskan beberapa perkongsian pengalaman sekadar ingatan untuk hari-hari mendatang. Secara ringkas keseluruhan hari kedua diisi dengan melakukan pelbagai kaedah rawatan secara praktikal. Kursus diakhiri dengan upacara pengijazahan kepada bakal-bakal mu'allij oleh tuan guru ustaz Abdul Majid serta sesi berfoto gambar.

Maka al kisah tamatlah sudah penceritaan, perkongsian pengalaman dan bermulalah juga episod baru dalam hidup ana merangkak, bertatih melangkah kaki kanan sebagai seorang mu'allij muda. Kepada sahabat-sahabat perjuangan sekalian (abg Hashim, abg Sha'ari, sheikh Hafiz, saudara Najib, Hanafiah, Azlan, Amir, Cikgu, juga para pelajar dari pengajian tinggi Faizul, Dee, Rahim, Zul, Ramdan serta semua peserta-peserta kursus yang namanya tidak tercatit. ) (maaf ana tak mampu untuk ingat semua nama kalian pada ketika ini). Semoga tetap dan istiqomahlah kalian semua dalam menegak yang haq mengatasi segala yang batil.


Sebelum mengakhiri entry ini, sukalah ana menghulurkan jambangan terima kasih kepada mereka yang terlibat dalam menjayakan kursus rawatan intensif ini. Akhir kata, ana doakan mudah-mudahan Allah s.w.t sentiasa menganugerahkan rasa keikhlasan terhadap segala ucapan, perbuatan, gerak-kerja mahupun istirehat kita. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon perlindunganMu agar kami tidak terjerumus ke kancah mensyirikkan Engkau dengan segala sesuatu yang sememangnya kami maklumi, dan kami memohon segala keampunanMu terhadap segala dosa yang tidak kami ketahui. Amin.

Hikmah Wanita Diwajibkan Menutup Aurat


Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang

Pada hari ini ramai yang bertudung tetapi seolah-olah bertelanjang. Apa tidaknya, memakai tudung hanya trend dan fesyen. Bertudung tetapi berseluar ketat, bertudung baju ketat, bertudung tetapi berlengan pendek, bertudung tetapi memakai skirt singkat, bertudung tetapi berkain belah, bertudung tetapi tidak labuh menutup dada. Inilah fenomena yang berlaku pada hari ini di dalam masyarakat kita.

Fenomena yang berlaku, nabi kita Muhammad saw telah memperingatkan kepada kita sejak 1400 tahun dahulu. Bermaksud:

“Di akhir zaman akan berlaku di kalangan umatku wanita yang berpakaian seperti telanjang. Atas kepala mereka seperti bonggol unta, laknatlah mereka kerana wanita yang dilaknat”

Hadis tersebut nabi sudah menjangka akan berlaku kepada wanita-wanita dari umatNya di akhir zaman nanti, ada yang memakai pakaian tetapi tidak menutup aurat, nipis sehingga menampak kulit, ketat hingga menampak labu punggung, pinggang, bonjolan buah dada, rusuk dan lain-lain, rambut digubah mengikut fesyen semasa sehingga terjadi seperti bonggol unta yakni tinggi membonggok. Mereka dilaknati Allah di dunia dan menjadi penghuni neraka di akhirat kelak.

Marilah kita muhasabah diri kita dan ahli keluarga kita supaya menghayati dengan surah al-Nur ayat 31,

“…dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala mereka; (al-Nur, 31)

Yakni hendaklah mereka melabuhkan tudung kepala mereka hingga menutupi leher dan dada mereka . Al-Juyub dalam ayat di atas adalah kata jama’ (plural) bagi kalimah al-Jaib iaitu bulatan atau belahan pada bahagian atas baju yang dibuat untuk mamasukkan kepala ketika memakainya (iaitu leher baju). Namun yang dimaksudkan ialah kawasan belahan atau bulatan tersebut pada badan iaitu bawah leher bahagian atas dada di mana kawasan tersebut termasuk dalam aurat yang mesti ditutup maka kerana itu diperintahkan supaya dilabuhkan tudung hingga ke situ. Menurut ulama’ ayat ini sekali gus menjadi dalil bahawa dada dan leher perempuan adalah aurat. Tidak harus dilihat oleh ajnabi dan oleh itu tidak harus didedahkan kepadanya.

Diriwayatkan bahawa Saidatina Aishah r.a pernah menceritakan “Semoga Allah merahmati wanita wanita Muhajirin yang awal di mana takkala Allah menurunkan ayat ini, mereka segera mengambil kain kain yang ada pada mereka lalu bertudung dengannya".

Menurut ahli Tafsir menjadi kebiasaan wanita-wanita pada zaman jahiliah berjalan di hadapan kaum lelaki dalam keadaan terdedah dada leher mereka serta menampakkan lengan mereka. Adakalanya mereka mendedahkan tempat-tempat fitnah pada badan mereka dan melepaskan ekor-ekor rambut mereka bertujuan membangkitkan perasaan ghairah kaum lelaki pada mereka. Apabila memakai tudung kepala , mereka melepaskan kebelakang mereka (yakni ke punggung mereka). Adapun bahagian depan dibiarkan tanpa menutup menyebabkan terdedah leher dan dada mereka.

Apabila datangnya Islam , Allah memerintahkan wanita-wanita beriman agar melabuhkan tudung-tudung mereka ke bahagian depan mereka hingga menutup dada dan leher mereka dan dengan itu selamatlah mereka dari sebarang fitnah dan perbuatan jahat. Oleh itu tudung yang dipakai oleh kebanyakan wanita pada hari ini tidak menepati dengan syara’ kerana ia tidak menutup dada sehingga menimbulkan keghairahan kepada orang lelaki. Begitu juga kalau bertudung tetapi memakai baju yang berlengan pendek dan baju yang ketat. Ini tidak termasuk di kalangan wanita yang beriman dengan surah al-Nur.

Hikmah wanita diwajibkan menutup aurat

Setiap sesuatu yang diperintahkan Allah mempunyai hikmah atau rahsia yang tersendiri. Antara hikmahnya ialah

1.Untuk menutup pintu fitnah kerana ia merupakan punca tercetusnya keinginan yang ada dalam diri manusia. Apabila keinginan nafsu mempengaruhi hati, biasanya seorang itu hilang pertimbangan akal lalu mudahlah ia melakukan perbuatan mungkar mengikut apa yang diperintah oleh nafsunya.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud"

“Tidak ada selepasku ini fitnah yang lebih bahaya kepada lelaki selain daripada perempuan”

2.Untuk menghindarkan kegiatan maksiat yang berpunca dari mata. Seluruh tubuh wanita atau bahagian-bahagian tertentu dari tubuh lelaki menjadi daya penarik yang mempesonakan pandangan mata kaum pihak yang berlainan jenis. Dari rasa persona itu boleh menajamkan keinginan ke arah melakukan maksiat seperti zina dan sebagainya.

3.Pandangan mata ada kaitan dengan hati. Mata yang selalu melihat perkara yang haram seperti aurat perempuan atau lelaki menyebabkan hati menjadi gelap. Hati yang gelap tidak dapat ditembusi cahaya nur keimanan, manakala Iman yang lemah tidak dapat melahirkan individu muslim yang benar-benar taqwa. Oleh itu amalan menutup aurat adalah untuk menolong seorang lain daripada terlibat dengan dosa dan menjejaskan imannya akibat memandang aurat yang sengaja didedahkan oleh sipelakunya. Sesungguhnya amat buruk perbuatan seseorang yang kerananya menyebabkan orang lain terpalik dosa.

4.Wanita solehah diperintah menutup aurat dengan sempurna adalah untuk membezakan dengan wanita Islam yang rosak akhlak atau wanita kafir. Wanita-wanita tersebut biasanya tidak tahu menghargai nilai kesopanan diri. Mempamerkan kecantikan tubuh untuk mendapat pujian orang lain adalah menjadi kebanggaan mereka. Demikianlah rendahnya moral mereka. Tabiat ini seharusnya tidak menguasai peribadi wanita-wanita mu’min dan mereka semua diarah menjaga ketinggian maruah diri yang dibentuk oleh Islam menerusi tingkah laku yang baik.

5.Keseluruhan hidup setiap individu Muslim tertakluk kepada disiplin yang ditentukan syarak. Perintah menutup aurat adalah disiplin yang dimaksudkan itu. Di samping mengandungi hikmah tertentu, peraturan mengenai aurat itu adalah sebagai ujian iman ke atas umat Islam untuk mengukur sejauh mana peraturan tersebut dapat dipatuhi. Pengakuan dengan lidah sahaja bahawa ia telah pun beriman sebenarnya tidak akan diiktiraf oleh Allah tanpa lulus ujian amali. Ini dipersyaratkan oleh Allah berbunyi,

“Apakah manusia menyangka mereka dibiar berkata kami telah beriman sedang mereka tidak diuji (keimanannya)” (Al-Ankabut, 29: 2)

Sekiranya seorang itu sanggup patuh kepada disiplin Islam sepanjang hayatnya, maka itu tanda orang-orang yang benar-benar beriman kepada Allah dan RasulNya dan jika sebaliknya, maka ia belum layak lagi menduduki taraf Muslim yang mu’min kerana imannya masih lemah. Seorang yang imannya lemah perlu dipertingkatkan dengan rawatan rohani sebelum dijemput ke alam barzakh. Oleh itu waspada sebelum terlambat.

Monday, November 2, 2009

Rumah yang Tidak Dimasuki Syaitan dan Jin


Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang


1) Rumah yang penghuninya sentiasa menjaga hak-hak dan kewajipan terhadap Allah.

2) Rumah yang penghuninya sentiasa rukuk dan sujud kepada Allah.

3) Rumah yang penghuninya sentiasa bersikap jujur dan memenuhi janji.

4) Rumah yang penghuninya sentiasa menjaga punca pemakanan dimana hanya mengambil yang halal.

5) Rumah yang penghuninya sentiasa menjaga dan menghubungkan silaturahim.

6) Rumah yang penghuninya sentiasa menjaga adab dan berbakti kepada orang tuanya.

7) Rumah yang penghuninya terdiri daripada pasangan soleh dan solehah serta saling memahami dan bertolak ansur.

8) Rumah yang tidak dimainkan alat-alatan (seperti lonceng, piano & gitar) dan bunyi-bunyian muzik yang mengasyikkan apatah lagi yang berunsur lagha.

9) Rumah yang penghuninya sentiasa menjaga adab dan rahsia.

10) Rumah yang tiada dipaparkan gambar-gambar hidup apatah lagi yang berunsurkan maksiat. (juga gambar yang ada salib

11) Rumah yang penghuninya sentiasa memelihara dan menjaga daripada perkara-perkara bid'ah.

12) Rumah yang tiada didalamnya patung-patung ataupun ukiran-ukiran yang menyerupai unsur-unsur hidup. (seperti patung menyerupai manusia, hatta permainan robot pun jika diperagakan juga adalah haram)

13) Rumah yang penghuninya penuh dengan salam dan meminta izin.

14) Rumah yang penghuninya saling bermaafan antara satu sama lain.

15) Rumah yang penghuninya sentiasa berada dalam keadaan bersih dan berzikir kepada Allah.

Oleh yang demikian, sentiasalah penuhi waktu yang lapang di rumah dengan membaca al-Quran, berzikir, solat sunat dan pelbagai lagi aktiviti / amalan yang dapat membendung syaitan & jin daripada memasuki rumah kita seterusnya secara tidak langsung mengundang kegembiraan para malaikat untuk menghuni teratak kediaman kita.

Bukalah tingkap-tingkap dengan menyebut Bismillah selepas subuh agar cahaya dan rezeki (aura yang baik) dapat memasuki rumah dan tutuplah segara ruang-ruang tingkap serta pintu sambil melafaz Bismillah apabila tiba waktu senja bagi menghalang jin daripada menjenguk lantas memasuki rumah kita.