Tuesday, December 1, 2009

Azan Berkumandang 24 Sehari

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang

Maksud kalimah-kalimah ini mengikut ulama adalah lebih luas daripada tujuh lautan tetapi secara ringkas ialah bahawa Allah mengatasi segala-galanya dan bahawa Tuhan hanyalah satu dan Muhammad adalah rasulnya. Lakukanlah solat untuk mendapat kejayaan di dunia dan akhirat. Bahawa Allah adalah di atas segala ciptaanNya dan bahawa Allah hanya satu.

Dari segi sejarahnya, dikisahkan Azan mula diamalkan pada tahun pertama hijrah umat Islam dari Mekah ke Madinah pada abad ketujuh Masehi.

Mengikut Hadis yang diriwayatkan Bukhari dan Muslim daripada Ibnu Umar bin al-Khattab r.a. tiada orang yang menyeru atau melaungkan Azan ketika orang Islam berkumpul dan menunggu untuk mengerjakan sembahyang pada mula-mula umat Islam berhijrah ke Madinah.

Ini menyebabkan pada suatu hari Rasullullah s.a.w. mengumpulkan para sahabat dan membincangkan cara mengingatkan umat Islam waktu solat telah masuk dan mengajak mereka ke masjid melakukan solat berjemaah.

Solat bagi umat Islam bukan sahaja sekadar menyembah Pencipta alam semesta tetapi juga merupakan ikrar mematuhi peraturan hidup yang ditetapkan olehNya di samping memohon petunjuk dan rahmat

Pada mesyuarat itu, ada yang mencadangkan supaya dikibarkan bendera, ada yang mengesyorkan ditiupkan serunai atau terompet dan ada juga yang mencadangkan supaya dibunyikan loceng, namun semua usul itu ditolak Nabi Muhammad s.a.w.

Umar kemudian mencadangkan supaya diteriakkan ayat "telah datang waktu solat" dan ini diterima Nabi, tetapi Baginda menukar lafaznya kepada "assolatu jamiaah" yang bererti "Marilah solat berjemaah".

Sehinggalah pada suatu malam Abdullah bin Zaid bermimpi mengenai cara yang lebih baik untuk menghebahkan solat dengan mengumandangkan Allahhu Akbar (dan seterusnya...)

Semasa diberitahu kepada Rasullullah s.a.w pada paginya, (Umar juga menyatakan bermimpi yang serupa), Baginda bersabda: "Mimpi itu mimpi yang benar", maka Nabi memerintahkan Bilal bin Rabah melaungkan azan itu.

Untuk solat Jumaat, Azan berkumandang sebanyak dua kali, kali pertama menandakan masuk waktu Zohor untuk memanggil orang Islam ke masjid dan kali kedua sejurus sebelum Imam memulakan Khutbah Jumaat.

Begitu juga Azan Subuh diamalkan semasa zaman Rasullullah s.a.w. dikumandangkan dua kali seperti yang dilakukan di Masjidil Haram -- pertama selepas berlalunya separuh malam untuk memberitahu muslimin bahawa waktu Subuh sudah hampir dan waktu itulah mereka digalakkan bersembahyang sunat tahajjud dan sebagainya atau bersahur untuk berpuasa. Azan kedua diperdengar ketika masuk waktu Subuh dengan tambahan lafaz "as-salatu khayrun min an-naum (solat itu lebih baik daripada tidur).

Selain untuk tujuan sembahyang, Azan sunat diamalkan untuk dibisikkan ke telinga bayi lelaki baru lahir atau suatu ketika dulu sebagai isyarat untuk memaklumkan kepada umat Islam waktu mudarat atau bahaya seperti bencana alam, kebakaran dan perang.

FENOMENA AZAN

Namun yang menarik perhatian ialah keajaiban yang banyak dibincangkan termasuk di Internet bahawa Azan berkumandang 24 jam di seluruh dunia berdasarkan perbezaan waktu dan tempat.

Ribuan bilal akan melaungkan seawal kira-kira 5.30 pagi, Azan Subuh yang bermula di bahagian timur, Indonesia dan proses itu akan bergerak ke barat kepulauan Indonesia dengan perbezaan waktu timur dan barat kepulauan Jawa adalah 90 minit.

Belum pun laungan Azan itu selesai di seluruh Indonesia, mengikut perkiraan, ia akan bergema di Malaysia, kemudian disambut di utara, di Myanmar, China dan seterusnya.

Dalam tempoh satu jam bermulanya Azan Subuh di Jakarta, Azan akan bersahutan di Bangladesh dan bergema pula di India.

Belum berakhir di Pakistan, laungan Azan Subuh akan dilaungkan di Afghanistan dan Oman.

Perbezaan waktu antara Muscat dan Baghdad, Iraq dianggarkan satu jam, maka dalam jangka masa ini juga Azan Subuh dikira akan dilaungkan di Emiriyah Arab Bersatu, di tanah suci Mekah dan Madinah dan negara-negara lain.

Proses ini berterusan setiap detik sehingga ke pantai timur Atlantik dalam jangka masa sembilan jam setengah, tetapi sebelum Azan Subuh bergema di situ, Azan Zohor sudah berkemundang di Indonesia semula.


Begitulah seterusnya bilal-bilal di serata pelusuk dunia akan sahut menyahut melaungkan keagungan Allah dan Nabi Muhammad s.a.w setiap detik, sepanjang waktu.

Tuesday, November 24, 2009

Pulangkan Tangan Ita


Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang

Assalamualaikum teman-temanku sekalian,Kisah ini untuk dijadikan pedoman dan pengajaran……Sebagai seorang ibu, anda patut menghalang atau menegur perbuatan suami anda memukul terutama sekali terhadap anak2 yg masih kecil dan tak tau apa2. Kalaupun terpaksa, ikutilah seperti apa yang telah diajarkan oleh junjungan besar Rasulullah SAW.

Namun perlu diingat, dalam Islam memukul bukanlah cara terbaik didalam mendidik anak-anak!! Sepasang suami isteri - seperti pasangan lain di kota-kota besar, meninggalkan anak-anak diasuh pembantu rumah semasa keluar bekerja. Anak tunggal pasangan ini, perempuan berusia tiga setengah tahun. Bersendirian di rumah dia kerap dibiarkan pembantunya yang sibuk bekerja bermain diluar, tetapi pintu pagar tetap dikunci. Bermainlah dia sama ada berayun-ayun di atas buaian yang dibeli bapanya ataupun memetik bunga raya, bunga kertas dan lain-lain di halaman rumahnya.

Suatu hari dia melihat sebatang paku karat. Dia pun mencoret simen tempat letak kereta ayahnya oleh kerana lantainya diperbuat dari marmar, coretan tidak kelihatan. Dicubanya pada kereta baru ayahnya. Ya… kerana kereta itu bewarna gelap, coretannya tampak jelas. Apa lagi kanak-kanak ini pun membuat coretan sesuai dengan kreativinya. Hari itu ayah dan ibunya bermotosikal ke tempat kerja kerana kesesakan jalan raya, ada perayaan Thaipusam.

Setelah penuh coretan yg sebelah kanan dia beralih ke sebelah kiri kereta. Dibuatnya gambar ibu dan ayahnya, gambarnya sendiri, lukisan ayam, kucing dan lain mengikut imaginasinya. Kejadian itu berlangsung tanpa disedari si pembantu rumah.

Pulang petang itu, terkejut pasangan itu melihat kereta yang baru sebulan dibeli dengan bayaran ansuran. Si ayah yang belum lagi masuk ke rumah ini pun terus menjerit, "Kerja siapa ini?" Pembantu rumah yang tersentak dengan jeritan itu berlari keluar. Dia juga beristighfar. Mukanya merah padam ketakutan lebih2 melihat wajah bengis tuannya. Sekali lagi diajukan pertanyaan keras kepadanya, dia terus mengatakan “Tak tahu…!”, "kamu dirumah sepanjang hari, apa saja yg kau lakukan?"herdik si isteri lagi.

Si anak yang mendengar suara ayahnya, tiba-tiba berlari keluar dari biliknya. Dengan penuh manja dia berkata "Ita yg membuat itu abahhh.. cantikkan!" katanya sambil memeluk ayahnya ingin bermanja seperti biasa. Si ayah yang hilang kesabaran mengambil sebatang ranting kecil dari pohon bunga raya didepannya, terus dipukulkannya telapak tangan anaknya berkali-kali . Si anak yang tak mengerti apa-apa terlolong-lolong kesakitan sekaligus ketakutan.

Puas memukul telapak tangan, si ayah memukul pula belakang tangan anaknya. Si ibu cuma mendiamkan saja, seolah-olah merestui dan merasa puas dengan hukuman yang dikenakan.Pembantu rumah kebinggungan, tidak tahu apa yang harus dibuat. Si ayah cukup rakus memukul-mukul tangan kanan dan kemudian tangan kiri anaknya.

Setelah itu si ayah masuk ke rumah dituruti si ibu, pembantu rumah menggendong anak kecil itu, membawanya ke kamar. Dilihatnya telapak tangan dan belakang tangan si anak kecil luka2 dan berdarah. Pembantu rumah memandikan anak kecil itu. Sambil menyiram air sambil dia ikut menangis. Anak kecil itu juga terjerit-jerit menahan kepedihan saat luka2nya itu terkena air. Si pembantu rumah kemudian menidurkan anak kecil itu. Si ayah sengaja membiarkan anak itu tidur bersama pembantu rumah.

Keesokkan harinya, kedua-dua belah tangan si anak membengkak. Pembantu rumah mengadu. "Sapukan obat saja!" jawab tuannya, ayah si anak. Pulang dari kerja, dia tidak pun menjenguk anak kecil itu yang menghabiskan waktu di bilik pembantu. Si ayah kononnya mau mengajar anaknya.

Tiga hari berlalu, si ayah tidak pernah menjenguk anaknya sementara si ibu juga begitu tetapi setiap hari bertanya kepada pembantu rumah. “Ita demam… " jawap pembantunya ringkas. "Kasih minum panadol ," jawab si ibu. Sebelum si ibu masuk bilik tidurnya dia menjenguk kamar pembantunya. Saat dilihat anaknya Ita dalam pelukan pembantu rumah, dia menutup kembali pintu bilik pembantunya.

Masuk hari keempat, pembantu rumah memberitahukan tuannya bahwa suhu badan Ita terlalu panas. "Petang nanti kita bawa ke klinik. Pukul 5.00 siap" kata majikannya itu. Sampai saatnya si anak yang sudah lemah dibawa ke klinik, doktor mengarahkan ia dirujuk ke hospital kerana keadaannya yang serius.

Setelah seminggu dirawat doktor memanggil ayah dan ibu anak itu. "Tidak ada pilihan.." katanya yang menyarankan agar kedua tangan anak itu dipotong kerana jangkitan yang terjadi sudah terlalu parah.

"Ia sudah bernanah, demi menyelamatkan nyawanya kedua tangannya perlu dipotong dari siku ke bawah" kata doktor. Si ayah dan ibu bagaikan terkena halilintar mendengar kata-kata itu. Terasa dunia berhenti berputar, tapi apa yg dapat dikatakan. Si ibu meraung merangkul si anak. Dengan berat hati dan lelehan air mata isterinya, si ayah terketar-ketar menandatangani surat persetujuan pembedahan.

Keluar dari bilik pembedahan, selepas obat bius yang disuntikkan habis, si anak menangis kesakitan. Dia juga hairan melihat kedua tangannya berbalut kain putih. Ditatapnya muka ayah dan ibunya, kemudian ke wajah pembantu rumah. Dia mengerutkan dahi melihat mereka semua menangis.

Dalam kesakitan menahan sakit, si anak bersuara dalam linangan air mata, "Abah.. Mama… Ita tidak akan buat lagi. Ita tak mau abah pukul Ita lagi, Ita tak mau jahat. “Ita sayang abah.. sayang mama." katanya berulang kali membuatkan si ibu gagal menahan rasa sedihnya. "Ita juga sayang Kak Narti.." katanya memandang wajah pembantu rumah, sekaligus membuatkan gadis dari Surabaya itu meraung histeria.

"Abah.. kembalikan tangan Ita, jangan abah ambil tangan .. Ita janji tidak akan buat lagi!” Bagaimana Ita mau makan nanti? Bagaimana Ita mau bermain? Ita janji tidak akan mencoret2 kereta abah lagi," katanya berulang-ulang. Terasa tercabut jantung si ibu mendengar kata-kata anaknya. Meraung2 dia sekuat hati namun takdir yang sudah terjadi, tiada manusia dapat menahannya!

Pengajaran : Anak adalah amanah Allah, sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tiada gunanya.

Tuesday, November 3, 2009

Muqadimah: Menceburi Kursus Akrine

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang

Maka dengan keizinan, ketentuan qada dan takdir Allah s.w.t, telah dipandukan dilorongkan buat pertama kali dalam sejarah hidup ana diberi peluang untuk menceburi, mendalami, mengenali ilmu-ilmu dalam perubatan rawatan Islam. Kesempatan yang diberikan oleh Allah ini ana ambil dengan mengikuti kursus rawatan intensif yang dikendalikan oleh Ustaz Abdul Majid Bin Hassan. Tiadalah ana ingin membuat coretan karangan ibarat menulis karangan bagi subjek BM dalam peperiksaan SPM. Tapi atas dasar keistimewaan pengalaman pertama kali menceburkan diri sebagai seorang mu'allij. Justeru catitan ini adalah agak simbolik.

Alhamdulillah sepanjang tempoh perjalanan pergi dipermudahkan oleh Allah s.w.t. Dua perasaan terus terputik di hati ana setibanya di sini. Pertama terkejut dan kedua bersyukur. Terkejut kerana kehadiran peserta menjangkau dan melebihi apa yang ana sangkakan, yakni lebih kurang 100 orang peserta. Bersyukur itu kerana seharian jika dibaca dalam akhbar semasa rata-rata boleh dikatakan setiap hari banyak berita-berita yang berkaitan dengan sihir dan seumpama dengannya. Maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah s.w.t itu maha adil & maha bijaksana. 100 orang perserta ini telah mengambil ruang, peluang dan hidayah daripada Allah s.w.t. untuk memenuhi tuntutan fardhu kifayah sebagai seorang mu'allij. Tingkatnya kejahatan itu maka tingkat dan tinggilah juga yang haq itu. Alhamdulillah dan insya-Allah kemenangan itu sentiasa di pihak yang haq.

Secara ringkas pada waktu siang hari pertama, masa telah diisi dengan sesi-sesi kuliyah tentang segala perkara merangkumi rawatan islam sebagai seorang mu'allij yang disampaikan oleh tuan guru. Alhamdulillah pelbagai ilmu-ilmu yang disampaikan dicerap sedikit demi sedikit dalam minda kepada ana. Apa yang ana ingin kongsikan di perenggan ini ialah gangguan jin terhadap 4 peserta secara berangkaian. Yang dimaksudkan ana berangkaian atau serangkaian ini ialah kerana salah seorang peserta telah penyembur spray aromateraphy akrine (mungkin untuk rawatan), secara tak langsung bau merbak spray itu terus menyelusup dalam dewan tersebut lantas dengan izin Allah memberi kesan yang segera kepada baki tiga peserta lain yang jelas menunjukkan keadaan mereka yang mempunyai sejarah gangguan jin. Secara ringkas terdapat gangguan jin asyik, jin sihir dan jin saka terhadap mereka. Alhamdulillah suasana dalam keadaan terkawal dengan bantuan oleh Ustaz Marzuki, abang Hisham (yang telah 6 kali mengikuti kursus rawatan Akrine), saudara Fazirul dari sebuah pusat pengajian tinggi yang juga pernah mengikuti kursus rawatan Akrine serta beberapa saudara yang ana kurang ingat nama mereka. Segala pujian bagi Allah, rawatan terhadap mereka berjaya dikembalikan dalam keadaan normal dengan izin Allah.

Lebih kurang 30 orang peserta bermalam di dewan tersebut termasuklah juga ana. Malamnya berlalu sekadar biasa. Cuma bukan kebiasaan bagi ana untuk tidak dapat tidur pada waktu malam. Malang bagi ana dan juga Najib (dari skudai johor) yang tidur disebelah kanan ana, tidak lupa juga Fazirul yang tidur disebelah kiri ana. Pada mulanya masing-masing dapat tidur sekitar jam 11 hingga 1. Hakikatnya kemudian kami bertiga bersengkang mata dari jam 1 pagi hinggalah hampir 4 pagi barulah masing-masing dapat melelapkan mata. Tela'ah kami mengatakan (sebagaimana ustaz Abdul Majid beritahu) dewan tersebut teramat jarang-jarang digunakan dan katanya lagi tiada perlu dihairankan memandangkan setiap kali kursus rawatan diadakan pasti malamnya "ada sesuatu".

Tiadalah ana berhajat untuk menulis karangan yang panjang dan jumlah ayatnya melebihi 350 patah perkataan. Cukuplah sekadar merenjiskan beberapa perkongsian pengalaman sekadar ingatan untuk hari-hari mendatang. Secara ringkas keseluruhan hari kedua diisi dengan melakukan pelbagai kaedah rawatan secara praktikal. Kursus diakhiri dengan upacara pengijazahan kepada bakal-bakal mu'allij oleh tuan guru ustaz Abdul Majid serta sesi berfoto gambar.

Maka al kisah tamatlah sudah penceritaan, perkongsian pengalaman dan bermulalah juga episod baru dalam hidup ana merangkak, bertatih melangkah kaki kanan sebagai seorang mu'allij muda. Kepada sahabat-sahabat perjuangan sekalian (abg Hashim, abg Sha'ari, sheikh Hafiz, saudara Najib, Hanafiah, Azlan, Amir, Cikgu, juga para pelajar dari pengajian tinggi Faizul, Dee, Rahim, Zul, Ramdan serta semua peserta-peserta kursus yang namanya tidak tercatit. ) (maaf ana tak mampu untuk ingat semua nama kalian pada ketika ini). Semoga tetap dan istiqomahlah kalian semua dalam menegak yang haq mengatasi segala yang batil.


Sebelum mengakhiri entry ini, sukalah ana menghulurkan jambangan terima kasih kepada mereka yang terlibat dalam menjayakan kursus rawatan intensif ini. Akhir kata, ana doakan mudah-mudahan Allah s.w.t sentiasa menganugerahkan rasa keikhlasan terhadap segala ucapan, perbuatan, gerak-kerja mahupun istirehat kita. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon perlindunganMu agar kami tidak terjerumus ke kancah mensyirikkan Engkau dengan segala sesuatu yang sememangnya kami maklumi, dan kami memohon segala keampunanMu terhadap segala dosa yang tidak kami ketahui. Amin.

Hikmah Wanita Diwajibkan Menutup Aurat


Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang

Pada hari ini ramai yang bertudung tetapi seolah-olah bertelanjang. Apa tidaknya, memakai tudung hanya trend dan fesyen. Bertudung tetapi berseluar ketat, bertudung baju ketat, bertudung tetapi berlengan pendek, bertudung tetapi memakai skirt singkat, bertudung tetapi berkain belah, bertudung tetapi tidak labuh menutup dada. Inilah fenomena yang berlaku pada hari ini di dalam masyarakat kita.

Fenomena yang berlaku, nabi kita Muhammad saw telah memperingatkan kepada kita sejak 1400 tahun dahulu. Bermaksud:

“Di akhir zaman akan berlaku di kalangan umatku wanita yang berpakaian seperti telanjang. Atas kepala mereka seperti bonggol unta, laknatlah mereka kerana wanita yang dilaknat”

Hadis tersebut nabi sudah menjangka akan berlaku kepada wanita-wanita dari umatNya di akhir zaman nanti, ada yang memakai pakaian tetapi tidak menutup aurat, nipis sehingga menampak kulit, ketat hingga menampak labu punggung, pinggang, bonjolan buah dada, rusuk dan lain-lain, rambut digubah mengikut fesyen semasa sehingga terjadi seperti bonggol unta yakni tinggi membonggok. Mereka dilaknati Allah di dunia dan menjadi penghuni neraka di akhirat kelak.

Marilah kita muhasabah diri kita dan ahli keluarga kita supaya menghayati dengan surah al-Nur ayat 31,

“…dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala mereka; (al-Nur, 31)

Yakni hendaklah mereka melabuhkan tudung kepala mereka hingga menutupi leher dan dada mereka . Al-Juyub dalam ayat di atas adalah kata jama’ (plural) bagi kalimah al-Jaib iaitu bulatan atau belahan pada bahagian atas baju yang dibuat untuk mamasukkan kepala ketika memakainya (iaitu leher baju). Namun yang dimaksudkan ialah kawasan belahan atau bulatan tersebut pada badan iaitu bawah leher bahagian atas dada di mana kawasan tersebut termasuk dalam aurat yang mesti ditutup maka kerana itu diperintahkan supaya dilabuhkan tudung hingga ke situ. Menurut ulama’ ayat ini sekali gus menjadi dalil bahawa dada dan leher perempuan adalah aurat. Tidak harus dilihat oleh ajnabi dan oleh itu tidak harus didedahkan kepadanya.

Diriwayatkan bahawa Saidatina Aishah r.a pernah menceritakan “Semoga Allah merahmati wanita wanita Muhajirin yang awal di mana takkala Allah menurunkan ayat ini, mereka segera mengambil kain kain yang ada pada mereka lalu bertudung dengannya".

Menurut ahli Tafsir menjadi kebiasaan wanita-wanita pada zaman jahiliah berjalan di hadapan kaum lelaki dalam keadaan terdedah dada leher mereka serta menampakkan lengan mereka. Adakalanya mereka mendedahkan tempat-tempat fitnah pada badan mereka dan melepaskan ekor-ekor rambut mereka bertujuan membangkitkan perasaan ghairah kaum lelaki pada mereka. Apabila memakai tudung kepala , mereka melepaskan kebelakang mereka (yakni ke punggung mereka). Adapun bahagian depan dibiarkan tanpa menutup menyebabkan terdedah leher dan dada mereka.

Apabila datangnya Islam , Allah memerintahkan wanita-wanita beriman agar melabuhkan tudung-tudung mereka ke bahagian depan mereka hingga menutup dada dan leher mereka dan dengan itu selamatlah mereka dari sebarang fitnah dan perbuatan jahat. Oleh itu tudung yang dipakai oleh kebanyakan wanita pada hari ini tidak menepati dengan syara’ kerana ia tidak menutup dada sehingga menimbulkan keghairahan kepada orang lelaki. Begitu juga kalau bertudung tetapi memakai baju yang berlengan pendek dan baju yang ketat. Ini tidak termasuk di kalangan wanita yang beriman dengan surah al-Nur.

Hikmah wanita diwajibkan menutup aurat

Setiap sesuatu yang diperintahkan Allah mempunyai hikmah atau rahsia yang tersendiri. Antara hikmahnya ialah

1.Untuk menutup pintu fitnah kerana ia merupakan punca tercetusnya keinginan yang ada dalam diri manusia. Apabila keinginan nafsu mempengaruhi hati, biasanya seorang itu hilang pertimbangan akal lalu mudahlah ia melakukan perbuatan mungkar mengikut apa yang diperintah oleh nafsunya.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud"

“Tidak ada selepasku ini fitnah yang lebih bahaya kepada lelaki selain daripada perempuan”

2.Untuk menghindarkan kegiatan maksiat yang berpunca dari mata. Seluruh tubuh wanita atau bahagian-bahagian tertentu dari tubuh lelaki menjadi daya penarik yang mempesonakan pandangan mata kaum pihak yang berlainan jenis. Dari rasa persona itu boleh menajamkan keinginan ke arah melakukan maksiat seperti zina dan sebagainya.

3.Pandangan mata ada kaitan dengan hati. Mata yang selalu melihat perkara yang haram seperti aurat perempuan atau lelaki menyebabkan hati menjadi gelap. Hati yang gelap tidak dapat ditembusi cahaya nur keimanan, manakala Iman yang lemah tidak dapat melahirkan individu muslim yang benar-benar taqwa. Oleh itu amalan menutup aurat adalah untuk menolong seorang lain daripada terlibat dengan dosa dan menjejaskan imannya akibat memandang aurat yang sengaja didedahkan oleh sipelakunya. Sesungguhnya amat buruk perbuatan seseorang yang kerananya menyebabkan orang lain terpalik dosa.

4.Wanita solehah diperintah menutup aurat dengan sempurna adalah untuk membezakan dengan wanita Islam yang rosak akhlak atau wanita kafir. Wanita-wanita tersebut biasanya tidak tahu menghargai nilai kesopanan diri. Mempamerkan kecantikan tubuh untuk mendapat pujian orang lain adalah menjadi kebanggaan mereka. Demikianlah rendahnya moral mereka. Tabiat ini seharusnya tidak menguasai peribadi wanita-wanita mu’min dan mereka semua diarah menjaga ketinggian maruah diri yang dibentuk oleh Islam menerusi tingkah laku yang baik.

5.Keseluruhan hidup setiap individu Muslim tertakluk kepada disiplin yang ditentukan syarak. Perintah menutup aurat adalah disiplin yang dimaksudkan itu. Di samping mengandungi hikmah tertentu, peraturan mengenai aurat itu adalah sebagai ujian iman ke atas umat Islam untuk mengukur sejauh mana peraturan tersebut dapat dipatuhi. Pengakuan dengan lidah sahaja bahawa ia telah pun beriman sebenarnya tidak akan diiktiraf oleh Allah tanpa lulus ujian amali. Ini dipersyaratkan oleh Allah berbunyi,

“Apakah manusia menyangka mereka dibiar berkata kami telah beriman sedang mereka tidak diuji (keimanannya)” (Al-Ankabut, 29: 2)

Sekiranya seorang itu sanggup patuh kepada disiplin Islam sepanjang hayatnya, maka itu tanda orang-orang yang benar-benar beriman kepada Allah dan RasulNya dan jika sebaliknya, maka ia belum layak lagi menduduki taraf Muslim yang mu’min kerana imannya masih lemah. Seorang yang imannya lemah perlu dipertingkatkan dengan rawatan rohani sebelum dijemput ke alam barzakh. Oleh itu waspada sebelum terlambat.

Monday, November 2, 2009

Rumah yang Tidak Dimasuki Syaitan dan Jin


Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang


1) Rumah yang penghuninya sentiasa menjaga hak-hak dan kewajipan terhadap Allah.

2) Rumah yang penghuninya sentiasa rukuk dan sujud kepada Allah.

3) Rumah yang penghuninya sentiasa bersikap jujur dan memenuhi janji.

4) Rumah yang penghuninya sentiasa menjaga punca pemakanan dimana hanya mengambil yang halal.

5) Rumah yang penghuninya sentiasa menjaga dan menghubungkan silaturahim.

6) Rumah yang penghuninya sentiasa menjaga adab dan berbakti kepada orang tuanya.

7) Rumah yang penghuninya terdiri daripada pasangan soleh dan solehah serta saling memahami dan bertolak ansur.

8) Rumah yang tidak dimainkan alat-alatan (seperti lonceng, piano & gitar) dan bunyi-bunyian muzik yang mengasyikkan apatah lagi yang berunsur lagha.

9) Rumah yang penghuninya sentiasa menjaga adab dan rahsia.

10) Rumah yang tiada dipaparkan gambar-gambar hidup apatah lagi yang berunsurkan maksiat. (juga gambar yang ada salib

11) Rumah yang penghuninya sentiasa memelihara dan menjaga daripada perkara-perkara bid'ah.

12) Rumah yang tiada didalamnya patung-patung ataupun ukiran-ukiran yang menyerupai unsur-unsur hidup. (seperti patung menyerupai manusia, hatta permainan robot pun jika diperagakan juga adalah haram)

13) Rumah yang penghuninya penuh dengan salam dan meminta izin.

14) Rumah yang penghuninya saling bermaafan antara satu sama lain.

15) Rumah yang penghuninya sentiasa berada dalam keadaan bersih dan berzikir kepada Allah.

Oleh yang demikian, sentiasalah penuhi waktu yang lapang di rumah dengan membaca al-Quran, berzikir, solat sunat dan pelbagai lagi aktiviti / amalan yang dapat membendung syaitan & jin daripada memasuki rumah kita seterusnya secara tidak langsung mengundang kegembiraan para malaikat untuk menghuni teratak kediaman kita.

Bukalah tingkap-tingkap dengan menyebut Bismillah selepas subuh agar cahaya dan rezeki (aura yang baik) dapat memasuki rumah dan tutuplah segara ruang-ruang tingkap serta pintu sambil melafaz Bismillah apabila tiba waktu senja bagi menghalang jin daripada menjenguk lantas memasuki rumah kita.

Thursday, June 4, 2009

Kaedah Menghafaz al-Qur'an


Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang

Sebelum seseorang berhajat untuk memulakan penghafalkan al-Qur'an. Terlebih dahulu haruslah mendalami ilmu-ilmu asas dalam pembelajaran membaca al-Quran. Pastikan tiada kesalahan pada baris, makhraj huruf dan menepati sifat yang wajib bagi tiap-tiap huruf agar tidak bercampur di antara satu huruf dengan huruf yang lain. Melancarkan sebutan ayat-ayat al-Qur'an yang ingin dihafal perlu dititikberatkan. Setelah membaca dengan lancar dan tanpa terdapat sebarang kesalahan mulalah menghafal dengan kaedah di bawah:

1. Beristighfar.

2. Berselawat kepada Nabi SAW. 7 kali.

3. Baca ayat berikut , 7 kali: “inna nahnu naz’zalna’ zikqra wain’na lahu laha’fizun”

4. Baca surah al-fatihah 1 kali.

5. Baca do’a pembukaan menghafal al-qur’an

6. Mulalah menghafal dengan hati yang tenang dan khusyuk dengan mengambil tiga ayat atau lima ayat untuk dihafal.

7. Jangan terlalu gopoh dengan tujuan untuk cepat ingat.

8. Hafalkan dalam kadar satu maqraq(*) atau dua halaman dalam satu masa.


contoh:

  • Ayat pertama ulang sebanyak 30x
  • Ayat kedua ulang sebanyak 30x
  • Ayat satu dan dua diulang bersama sebanyak 10x
  • Ayat ke tiga buat ulang seperti ayat satu dan dua 30x
  • Diulang ayat satu dan dua dan ditambah dengan ayat tiga sebanyak 10x

Nota : Begitulah seterusnya sehinggalah bertemu ayat yang kesepuluh dan apabila berjumpa ayat yang seterusya yakni ayat sebelas maka disusun semula daripada sebelas dan seterusnya. Pastikan jika ayat melebihi daripada sepuluh maka haruslah diulang seperti contoh diberikan ini. Jika sesuatu surah itu melebihi daripada 10 ayat keatas maka anda digalakan meletakan target setiap kali mengulang dan menghafaz hanya sepuluh ayat sahaja. Dan anda membuat kiraan semula selepas masuk ayat 11. contoh : 1-10 / 11-20 ayat. Begitulah seterusnya.

ayat 1 hingga 10 / 11 hingga 20 / 21 hingga 30 dan begitulah seterusnya.


Perkara Yang Perlu Diperhatikan Dalam Menghafaz Dan Menjaga Hafazan Al-Quran

  1. Ulangi bacaan hafalan disetiap ketika tanpa rasa jemu dan bosan.
  2. Menghafallah ditempat yang sunyi, tenang dan jauh dari maksiat.
  3. Cuba bawa ayat hafalan dalam solat dan sentiasa solat malam.
  4. Gunakan hanya sebuah al-qur’an sahaja yang menepati mashaf Uthmani.
  5. Mengutamakan solat di awal waktu dan berjamaah di masjid.
  6. Sentiasa berwudhu’ dan takut kepada Allah.
  7. Memulakan dan mengakhiri bacaan dengan do’a dan sentiasa menjaga adab dan memuliakan al-qur’an.
  8. Kurangkan ketawa dan banyak mengangis.
  9. Perbanyakkan beristighfar dan memohon keampunan kepada Allah Ta’ala.
  10. Kurangkan makan, tidur dan berbual kosong dan elakkan dari memakan yang syubhat.
  11. Banyakkanlah berpuasa sunat dan segala amalan sunat yang lain.
  12. Sentiasa menjaga mata semata-mata kerana Allah dan tidak menyalahgunakan ayat-ayat al-Qur’an untuk kepentingan peribadi dan segala sesuatu yang sementara.

Untuk menajaga hafalan.
a. Sentiasa takut kepada Allah
b. Sentiasa berwudhu’
c. Sentiasa solat malam
d. Sentiasa bersugi
e. Sentiasa bersuci bila berhadas.

Selamat melaksanakan salah satu dari tuntutan fadhu kifayah.

Monday, June 1, 2009

Mimpi Seorang Gadis Muslimah


Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang


Seorang gadis datang menemui Rasulullah s.a.w dengan tangan kanannya disorokkan ke dalam poket bajunya. Dari raut wajahnya, anak gadis ini sedang menanggung kesakitan yang amat sangat. Lalu Rasulullah menegurnya."Wahai anakku, kenapa wajahmu menampakkan kamu sedang kesakitan dan apa yang kamu sorokkan di tanganmu?" Lalu gadis malang ini pun menceritakan hal yang berlaku padanya "Ya, Rasulullah, sesungguhnya aku adalah anak yatim piatu. Malam tadi aku telah bermimpi dan mimpiku itu telah membuatkan aku menanggung kesakitan ini." Balas gadis tadi.

"Jika tidak jadi keberatan, ceritakanlah mimpimu itu wahai anakku." Rasulullah s.a.w mula tertarik dengan penjelasan gadis tersebut."Aku bermimpi berjumpa ibuku di dalam neraka. Keadaannya amat menyedihkan. Ibuku meminta diberikan air kerana dia amat dahaga kerana kepanasan api neraka itu hingga peluh tidak sempat keluar kerana kekeringan sekelip mata." Gadis itu berhenti seketika menahan sebak. "Kemudian ku lihat di tangan kirinya ada seketul keju dan di tangan kanannya ada sehelai tuala kecil. Beliau mengibas-ngibaskan kedua-dua benda tersebut untuk menghalang api dari membakar tubuhnya. Lantas aku bertanya ibuku, kenapa dia menerima balasan sebegitu rupa sedangkan ketika hidupnya ibuku adalah seorang hamba yang patuh dengan ajaran islam dan isteri yang taat kepada suaminya? Lalu ibuku memberitahu bahawa ketika hidupnya dia amat bakhil. Hanya dua benda itu sahaja iaitu seketul keju dan sehelai tuala kecil pernah disedekahkan kepada fakir. Yang lainnya hanya untuk bermuka-muka dan menunjukkan kelebihan hartanya sahaja.

Lalu aku terus mencari ayahku. Rupanya beliau berada di syurga dan sedang menjamu penghuni syurga dengan makanan yang lazat dan minuman dari telaga nabi. Ayahku memang amat terkenal kerana sikapnya yang dermawan dan kuat beramal.Lalu aku bertanya kepada ayahku. "Wahai ayah, ibu sedang kehausan dan menaggung azab di neraka. Tidakkah ayah ingin membantu ibu sedangkan di dunia ku lihat ibu amat mentaatimu dan menurut perintah agama.

Lalu dijawab oleh ayahnya. Sesungguhnya beliau dan semua penghuni syurga telah dilarang oleh Allah dari memberi walau setitik air kepada isterinya kerana itu adalah pembalasan untuk kebakhilan yang dilakukan ketika di dunia.

Oleh kerana kasihan melihat azab yang diterima oleh ibuku, aku lantas menceduk sedikit air mengguna tapak tangan kananku lalu dibawa ke neraka. Belum sempat air tersebut mencecah bibir ibuku, api neraka telah menyambar tanganku sehingga melecur. Seketika itu juga aku tersedar dan mendapati tapak tanganku melecur teruk. Itulah sebabnya aku datang berjumpa engkau ya Rasulullah". Panjang lebar gadis itu bercerita sambil airmatanya tidak henti-henti mengalir di pipi.

Rasulullah s.a.w kemudian meletakkan tongkatnya ke tapak tangan gadis tersebut lalu menadah tangan, berdoa memohon petunjuk dari Allah. Jika sekiranya mimpi gadis tersebut adalah benar maka disembuhkanlah agar menjadi iktibar kepada beliau dan semua umat Islam .Lalu berkat kebesaranNya tangan gadis tersebut sembuh. Rasulullah lantas berkata, "Wahai anakku, pulanglah. Banyakkan bersedekah dan berzikir dan pahalanya kau berikan kepada ibumu. Mudah- mudahan segala dosa ibumu terampun. INSYA-ALLAH"

Thursday, May 28, 2009

Jenis Tidur yang Sunat Dibangunkan


Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang

Mengejutkan orang yang tidur disunatkan sekiranya orang itu tidur dalam keadaan berikut:

Pertama:
Seorang yang tidur di masjid dan waktu solat sudah tiba. Ini berdasarkan hadith Abu Bakrah r.a. Beliau berkata "Aku keluar bersama Nabi s.a.w untuk menunaikan solat subuh. Beliau tidak lalu pada mana-mana lelaki melainkan akan menyerunya untuk solat atau menggeraknya untuk solat dengan kakinya." (Hr Abu Daud 1246 -semua perawinya thiqah)

Kedua:
Orang yang tidur dihadapan orang yang solat kerana menggangu orang yang solat.


Ketiga:
Tidur diatas permukaan bangunan tanpa penghadang. Rasulullah s.a.w bersabda "Sesiapa yang tidur diatas permukaan bangunan tanpa ada penghadang (dari jatuh bangunan), sesungguhnya telah terlepas dari tanggungjawab mana-mana pihak (sekiranya terjatuh). (Hr Abu Daud - semua perawinya adalah thiqah)


Keempat:
Tidur dalam keadaan separuh badan terkena cahaya matahari dan setengah lagi tidak kena. Nabi saw bersabda: “Apabila salah seorang kamu berada di bawah pancaran matahari, kemudian matahari menaik dan sebahagian tubuh mu terkena pancaran matahari dan sebahgian yang lain tidak kena , hendaklah dia beredar.” (Hr Abu Daud – semua perawinya thiqah)

Kelima:
Tidur waktu subuh. Nabi saw bersabda: “Tidur subuh menegah rezki.” (Hr Ahmad – sanad lemah)
Umar bin Abdul Aziz apabila melihat anaknya sedang tidur waktu subuh, beliau mengejutkannya dan berkata: “Rezeki dibahagi-bahagikan sedangkan engkau tidur".

Keenam:
Tidur sebelum isya kerana makruh tidur waktu itu. Ini disebut dalam hadis yang panjang, riwayat dari Abi Bakrah r.a dimana beliau berkata: “Baginda tidak suka tidur sebelum solat isya dan sembang-sembang selepasnya.” (Hr Bukhari - sahih)

Ketujuh:
Tidur lepas solat asar. Nabi saw bersabda: "Sesiapa yang tidur selapas solat asar dan hilang akalnya , janganlah dia mencela melainkan dirinya.” (Hr Abu Ya’la – Sanad lemah)

Kelapan:
Seseorang yang tidur meniarap. Baginda melihat seorang lelaki meniarap. Lalu baginda bersabda:
Maksudnya: “Sesungguhnya ini adalah cara baring yang dimurkai oleh Allah dan Rasulnya.” (Hr Tirimizi dan Ahmad-hasan lighairihi)
Abu Umamah r.a berkata: Nabi s.a.w lalu dekat seorang lelaki yang tidur meniarap di Masjid. Lalu baginda memukulnya dengan kakinya dan berkata: Maksudnya: “Bangunlah kamu dari tidur dan duduklah sesungguhnya ini adalah cara tidur ahli neraka jahannam.” (Hr Ibnu Majah)

Kesembilan:
Mengejutkan orang tidur untuk bangun qiamullail.. Nabi saw bersabda: “Allah merahmati lelaki yang bangun malam, menunaikan solat dan mengejutkan isterinya. Sekiranya isterinya enggan, dia akan merenjiskan air pada muka isterinya. Allah merahmati wanita yang bangun malam, menunaikan solat dan menegejutkan suaminya. Sekiranya suaminya enggan, dia akan merenjis air ke muka suaminya." (Hr Abu Daud 1308 – perawi-perawinya thiqah)

Kesepuluh:

Mengejutkan orang yang tidur untuk bangun sahur. Nabi saw bersabda: “Sesungguhnya bilal akan mengumandangkan azan pada waktu malam (sebelum subuh), maka makanlan dan minumlah sehingga IbnuMaktum mengumandangkan azan subuh.” (Hr Muslim)


Rujukan: Tashilul Maqasid li Zuwwarul Masjid oleh Ibnul Ammad, Aunul Ma’bud oleh al-Abadi dan an-Nihayah oleh Ibnul athir.